RSS

Monday, November 21, 2011

Cepatnya masa berlalu....

Hari ni merupakan hari kedua bagi cuti akhir tahun persekolahan pada tahun 2011. Ini juga bermakna hampir setahun sudah saya menceburi diri dalam bidang mencorak insan secara langsung ini. Bidang yang sebenarnya tiada dalam perancangan hidup, namun ketentuan Allah itulah adalah segala-galanya. Perancangan hidup saya sebelum ini hanyalah mengenai angka-angka dan laporan serta mengatur kehidupan dengan kesibukan pada setiap hujung bulan ataupun pada masa-masa yang pick hour. Hasrat saya hanyalah untuk untuk mendapat 'tempat' dan 'sebaris' bersama-sama rakan-rakan yang lain. Namun, apa yang berlaku kadang-kadang tidak seperti yang kita mahukan. Sekarang kehidupan saya telah bertukar jauh dari apa yang amat saya sukai iaitu bermain dengan nombor, susah tapi keseronokan tetap ada di sana. Tapi, walau sekarang saya semakin jauh dengan dunia itu, saya tetap akur dengan pilihan saya sekarang. Walaupun berat pada mulanya, tapi sedikit demi sedikit dunia ini semakin saya sukai. Betullah kata seorang ustaz yang pernah memberi pengisian beliau dalam usrah yang saya hadiri bahawa setiap yang berlaku merupakan ujian. Jadi sebagai seorang mukmin, perkara yang terbaik yang perlu dilakukan hanyalah perlu bersyukur, redha dan bersabar dengan segala ketetapannya. Maka nanti, nescaya kita akan temui dan diperlihatkan hikmah yang tersembunyi, insyaAllah. Dan juga bukankah Allah telah berfirman di dalam kitabNya yang mulia bahawasanya:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai kepada sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah jualah yang Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216)

Di sepanjang kehidupan sebagai pendidik yang tak seberapa lamanya ini, banyak yang saya pelajari dan begitu juga semestinya banyak lagi yang perlu saya pelajari bagi menjadikan diri ini sebagai pendidik yang diredhaiNya. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi pendidik yang cemerlang yang bukan sahaja cemerlang di dunia tapi juga di akhirat. Ianya memerlukan kesabaran, kegigihan dan pengorbanan yang bukan sedikit. Makanya, perjalanan hidup saya dalam dunia pendidikan ini masih panjang yang semestinya penuh dengan ranjau durinya. Banyak lagi perlu saya cari, gali dan lengkapkan dalam diri supaya anak-anak didik saya nanti bukan sekadar berjaya dalam ujian, tapi juga berjaya dalam menghadapi mehnah kehidupan yang mengganas ini. Moga saya diberi kekuatan ke arah itu, ameen.

Sedar tak sedar, sudah lama juga saya tak menjengah blog sendiri dek kesibukan ini. Rasa rindu untuk menulis semakin menjadi. Moga saya tetap diberi kesempatan untuk selalu membelai blog kesayangan ini (",). Dan moga hari-hari yang mendatang akan memberi keberkatan kepada kita semua. Ayuh kita sibukkan diri kita dengan perkara-perkara yang berfaedah dan dapat merasakan kehambaan kita kepadaNya, insyaAllah....

Kenangan bersama anak didik sempena majlis perpisahan 2011

About This Blog

"ilahi anta maqsudi waridhaka mathlubi"
Ya Ilahi, Engkaulah tempat matlamat dan tujuanku, dan hanya keredhaanMulah yang sentiasa menjadi cita-citaku