RSS

Tuesday, January 12, 2010

Sajak Seindah Bidadari Syurga - Sempena Konvensyen Nisa'WP

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...

Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi sebuah sajak yang dideklamasikan oleh sahabat AJK Nisa'WP pada Konvensyen Nisa'WP yang lalu...moga kita semua menjadikannya satu motivasi dalam mengharungi hidup sebagai salah seorang hambaNya yang terpilih dalam menyebarkan risalah dakwah ini...

Seindah Bidadari Syurga...

Aduhai bidadari syurga...
Mendengar lagu dan membaca hikayat kalian membuatkan aku tertanya-tanya.
Mampukah aku menjadi seperti kalian?
Layakkah aku berdiri di sisi kalian?
Sedangkan perjuangan ku tak tersaing dengan kalian dan
kehambaanku tak sehebat pengabdian kalian…..
Riwayat bidadari syurga, menambat hatiku pada Yang Esa…

Al-Khansaa` berpuisi pada putera-puteranya:
“Wahai putera-puteraku,
Jika kamu bangun esok pagi
Keluarlah memerangi musuh-musuh Allah
Dan keranaNya, kamu akan mendapat kemenangan.”
Begitulah Al-Khansaa`
Tidak diratapi putera-puteranya yang gugur
Tidak disesali putera-puteranya yang syahid…

Iman dan taqwa ini
Begitu menusuk jiwanya
Hingga pujukan ayahnya
Gagal melenturkan hatinya
Ayahnya Musyriq
Suaminya Nasrani
Wahai Ramlah,
Kesabaranmu diganjari Allah
Ayahmu menjadi muslim
Dan suamimu kini Rasulullah S.A.W..

Tanpa gentar engkau berjuang
Penuh megah kau julangi panji-panji Islam
Wahai Nasibah
Engkau adalah lambang
Kegagahan seorang wanita…

Yang bijak, yang anggun
Yang tegas, yang lembut
Dirimu pelengkap sifat wanita
Kesetiaanmu pada Uthman tiada tandingan
Wahai Nai`lah Al-Farafishah
Engkaulah hiasan sebaik permata….

Pengorbanan Saudah yang tak ternilai harganya…
Mengutamakan yang lebih utama di hati Baginda
Walau dirimu berendam air mata…
“Wahai Rasulullah, biarkan aku terus menjadi isterimu
Kerana kedudukan itu
Lebih mulia dari seorang janda”…
Mulianya hatimu wahai Suadah binti Zam` ah….

Hafsah bin Umar…
Dalam kelemahan sebagai manusia
Masih ada ruang memohon ampunNya
Kau satukan helaian wahyu
Kalimah yang agung
Menjadi lembar pedoman turun temurun

Rumaisa
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman
Penuh redha engkau terima
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri….

[Pelbagai iktibar dapat kita teladani melalui kisah-kisah mereka. Kisah Hawa, Siti Khadijah RA, Aisyah RA, Pesona Zulaikha, Balqis, Ainul Mardhiah, Zubaidah Binti Jaafar, Halimah As-Sa’adiah, Yukabid, Fatimah Az-Zahra, Hindun, Asiah, Nasibah, Asma` Bt Abu Bakar, Zainab Bt Ali, Rabiatul Adawiyah, Zinnirah, Masyitah dan nama-nama serikandi Islam yang lain.

Walaupun kita mungkin tidak mampu meletakkan nama kita sebaris dengan para serikandi ini tetapi marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan kita supaya kita dapat bersama-sama mereka di syurga nanti. InsyaAllah.

Al Fatihah untuk para serikandi ini. Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan redha Allah S.W.T.]

0 comments:

About This Blog

"ilahi anta maqsudi waridhaka mathlubi"
Ya Ilahi, Engkaulah tempat matlamat dan tujuanku, dan hanya keredhaanMulah yang sentiasa menjadi cita-citaku