Saya percaya sahabat-sahabat selalu mendengar kata-kata “Ukhwah Fillah Abada Abadan”, “Ukhwah Fillah Lestari Selamanya”, dan pelbagai lagi ungkapan yang berkaitan dengan ukhwah fillah. Saya pun kerap dalam muqadimah saya memulakan dengan kalimah salam dan ‘ukhwah fillah’ ini (“,). Terasa bahagia dihati kerana diberikan kesempatan untuk merasai kehebatan ikatan ukhwah kerana Allah ini. Tapi benarkah begitu hebat dan indahnya ukhwah yang terjalin kerana Allah ini? Terlintas di fikiran ukhwah Para Sahabat bersama Rasul tercinta. Oh indahnya, sanggup berkorban segalanya hatta nyawa sekalipun demi sahabat.
Tapi, itu zaman sahabat yang mendapat tarbiyyah terus dari Nabi Muhammad SAW. Persoalannya, masih wujud lagikah ukhwah seperti itu di zaman ini. Zaman yang penuh dengan tipu daya, pentingkan diri sendiri, dan pelbagai masalah hati yang semakin membarah. Masih wujudkah lagi sahabat yang sanggup mengorbankan dirinya untuk sahabatnya, seperti kisah Ikramah bin Abu Jahal, Suhail bin Amr dan Haris dalam Perang Yarmuk. Masih adakah lagi sahabat yang sanggup memberi harta peribadinya seperti apa yang dilakukan oleh sahabat Ansor kepada sahabat Muhajirin. Bagi saya, sirah-sirah hebat ini boleh berulang di zaman kita ini andai kita sanggup penuhi beberapa kriteria. Seperti kata Ustaz Hasrizal dalam banyak penulisannya ‘hidup untuk memberi’. Begitulah kita dalam bersahabat, andai kita sanggup untuk memberi tanpa minta balasan, maka kita akan mendapat merasai kenikmatannya. Ayuh, mari kita mulakanya dahulu, bukannya menunggu kebaikan daripada sahabat kita teerhadap kita. Saya tahu ianya bukan perkara yang mudah, tapi percayalah pasti ada kemanisannya yang akan menunggu kita, kalaupun tidak di dunia ini pasti di akhirat kita akan menikmatinya.
Dalam kita bersahabat, sudah pasti kita akan berjumpa dengan pelbagai kerenah sahabat-sahabat kita yang kadang-kadang akan menguji keimanan, kesabaran dan keikhlasan kita. Saya tahu bukan sedikit air mata akan tumpah kerana keterlukaan hati kita. Ingatlah andai itu yang terjadi, fikir-fikirkanlah bahawa sahabat kita itu hanya manusia biasa, seperti juga dengan kita, mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Fikirkanlah kebaikan-kebaikan yang telah beliau lakukan sebelum ini dan anggaplah itu salah satu dari ujian Allah untuk menguji keikhlasan kita. Mungkin inilah masanya untuk kita kembali muhasabah diri, adakah benar kita bersahabat dengannya kerana Allah atau hanya mainan bibir kita sahaja. Sesungguhnya Allah akan menguji kita, itu yang pasti. Setakat mana kita tahan di uji dan sabar menghadapinya itulah penanda aras persahabatan kita. Atau mungkin juga ianya salah satu daripada kafarah dosa kita kerana kita juga pernah secara sedar mahupun tidak telah melukai hati sahabat kita yang lain. Fikir-fikirkanlah yang positif supaya hati kita tenang, tidak berburuk sangka dan menyimpan dendam terhadapnya. Ambil yang jernih, buang yang keruh, maafkan kesalahannya dan redhalah dengan apa yang berlaku.
Dalam rukun baiah pula (yang saya kira bagi sahabat-sahabat yang mengintima’kan dirinya kepada Harakah Islamiyyah rasanya sudah ‘hadam’ perihal rukun Baiah yang 10 ini), terdapat satu rukun iaitu rukun yang kesembilan yang memperkatakan tentang ukhwah ini. Ukhwah atau persaudaraan ialah mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh sesama ahli jemaah dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga. Ikatan di atas dasar ketaatan kepada Allah ini akan mengikat hati-hati dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW yang bermaksud:
"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Dalam mencapai tahap ukhwah yang sebenarnya, kita semua mempunyai kewajipan dan tanggungjawab ukhwah yang perlu dilaksanakan. Antaranya, ukhwah yang terjalin mestilah membawa kita kepada ketaatan kepada Allah. Selain itu, ukhwah yang sebenarnya membuat kita turut merasai keperluan-keperluan sahabat kita dan berusaha memenuhi keperluan tersebut. Sama-samalah kita renungi pesanan-pesanan dari Rasulullah dan seterusnya berusaha untuk menjadikan kita salah seorang yang diberi Allah akan kemanisan berukhwah kerana Allah ini.
"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".
"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".
"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim)
Akhir sekali, minggu lepas saya sempat mendengar kuliah jumaat di surau yang membicarakan tentang 7 golongan yang dinaungi oleh Arasy Allah SWT di padang Masyar kelak, di mana salah satu golongan adalah dua orang yang saling berkasih saying kerana Allah SWT, di mana mereka bertemu dan berpisah adalah kerana Allah. Ayuh sahabat-sahabatku, sama-samalah kita CUBA untuk menjadi seorang sahabat yang lebih mementingkan sahabat-sahabat daripada kepentingan kita sendiri walaupun kadang-kadang itulah yang susah untuk dilakukan. Bukankah dalam tingkatan ukwah yang tertinggi ialah itsar iaitu mendahulukan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri sendiri dalam perkara yang kita sukai. Kalaulah kita tidak mampu untuk mencapai tingkatan itsar ini biarlah kita dapat melepasi tingkatan yang paling rendah iaitu husnudzon iaitu bersih hati dari buruk sangka, hasad dengki dan benci sesama sahabat. Moga kita semua dipermudahkan dan berada di dalam kasih sayangNya jua (",)...
0 comments:
Post a Comment