RSS

Thursday, May 13, 2010

Ujian Itu Tanda Kasih Sayang Allah

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dan kejahatan) yang dikerjakannya…..”

Hanya padaNya kuserahkan hidup ini. Ujian yang ditimpakan kepada diriku dan sahabat baru-baru ni terasa amat berat untuk ditanggung. Terasa macam langit dihempapkan ke atas diri ini dan bagaikan jatuh tersungkur tiada daya untuk bangun kembali. Lemah-longlai dan terasa kakiku sudah tidak mampu lagi untuk menampung badanku ini. Namun kugagahi juga menuju ke destinasi mengharapkan sinar harapan yang semakin pudar. Sudah ditakdirkan kami ‘kehilangan’ walaupun di lubuk hati kecil ini hingga saat ini masih mengharapkan kewujudannya. Namun aku tetap redha dengan apa yang berlaku kerana aku tahu setiap yang berlaku baik perkara yang baik mahupun yang buruk ada hikmahnya. Hanya pengetahuan Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa hikmahnya di sebalik musibah yang berlaku.

Aku cuba memujuk hati supaya menerimanya dengan penuh kesabaran. Namun, hasutan syaitan laknatullah kadang-kadang membuatkan hatiku begitu sedih. Hasutan-hasutan ‘andai aku’ sering menjelma di fikiran. Pertarungan ini begitu mempengaruhi diriku sehinggakan fikiranku menjadi buntu, tidak mampu berfikir apa yang perlu dilakukan dan emosiku menjadi begitu tidak stabil sehingga begitu mudah air mata membasahi pelupuk mata ini. Lebih teruk aku mengalami sakit kepala yang amat teruk. Nasihat-nasihat sahabat bukan semakin dimotivasi tapi menjadi aku semakin sebak. Aku merasakan betapa kerdilnya diri jika dibandingkan dengan nasihat yang diberikan. Terfikir diri ini adakah aku tidak redha dengan apa yang berlaku ‘andai aku’ sering bermain-main di fikiran. Tidak redhakah aku jika aku menangis teresak-esak. Ya Allah, aku tidak mahu ini terjadi. Engkau bagilah keredhaan dalam hatiku ini untuk aku redha dan menerima dengan hati yang tabah. Hanya padaMu ku memohon ditenangkan hati ini. Sesungguhnya Engkaulah yang memberi keresahan dan engkau jugalah yang menariknya kembali. Tolonglah hambaMu yang lemah ini. KeampunanMu yang kupinta di atas segala kesalahan dan kekhilafan diri ini.

Ya Allah, padamu kusujud dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan. Alhamdulillah setelah membaca berulang kali artikel ‘Jannah di sebalik musibah’ tulisan Ustaz Pahrol Joi yang dikirimkan oleh seorang sahabat membuatkan hati semakin tenang. Ayat-ayat dari tulisan beliau begitu menusuk dijiwa. Aku cuba mengambil pengajaran dan penghayatan …

“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

“………. mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah SWT inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah.

Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah SWT tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597)

Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?

…….Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.

Ya begitula kita, perlukan tazkirah dan tazkiyah dalam meniti hidup yang penuh ranjau ini supaya kita tidak tergelincir dari jalan kebaikan ini. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan. Sesungguhnya dengan ujianlah Allah memberi peluang kepada kita untuk membaiki diri ke arah yang lebih baik. Wahai sahabat-sahabatku, aku tahu dikau pun mempunyai masalah hidup yang berat dan membebankan perasaan. Tapi percayalah sahabatku, kita semua tidak akan diuji andai kita tidak mampu menghadapinya. Yakinlah Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu dan ingin mengangkat martabat kita. Yang penting sabar dan redha adalah yang terbaik disamping berusaha untuk mengatasi masalah tersebut. Dan bersyukurlah kerana kita masih diuji olehNya, tanda Dia masih mengingati kita dan ingin membawa kita kembali kepadaNya. Ayuh kita sama-sama koreksi diri kita dan menjadi hambaNya yang redha dengan segala ketentuan Allah dan moga Allah redha dengan kita. Amennn…

Hanya redhaMu kucari

0 comments:

About This Blog

"ilahi anta maqsudi waridhaka mathlubi"
Ya Ilahi, Engkaulah tempat matlamat dan tujuanku, dan hanya keredhaanMulah yang sentiasa menjadi cita-citaku