RSS

Sunday, June 17, 2012

Damba Cinta Mu
Tuhanku...
Ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku...
Maafkanlah kejahilan hambaMu

Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba cintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Ku sering berjanji depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau pada ku

Tuhan diri ini tidak layak ke syurga Mu
Tapi tidak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ku takut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Moga ku kan selamat dunia akhirat
Seperti Rasul dan Sahabat



Friday, June 15, 2012

Cetusan Hati....

Assalamu’alaikum…

Tiba-tiba hati terdetik ingin melakar di MUJAHIDAH yang sudah lama terbiar tanpa penjagaan yang sepatutnya. Rasa hati yang meronta-ronta ini memberi kekuatan itu aku mengadap kauthar yang sangat berjasa dalam hidupku ini. Kauthar yang menjadi peneman di kala kesunyian mahupun di kala sibuk.

Entah apa yang ingin kucoret sebenarnya. Masih dalam kelabu lagi, hehehe... Namun yang pasti aku ingin sangat menulis semula. Mungkin disebabkan keadaan hidup yang agak terganggu menjadi aku memerlukan kekuatan yang berlainan untuk meneruskan hidup. Ya betul, kita sebagai makhlukNya di muka buminya yang indah ini tidak akan lari dengan masalah. Tipulah kalau kita kata kita takder masalah dan juga bicara karut jika kita nak hidup kita smooth je dari hari ke hari tanpa ada apa-apa masalah. Begitula kita, tak akan terlepas dari masalah kehidupan ini. Jadi nak ke tidak, memang kita akan bermasalah jugak. Jadi sebagai manusia yang normal, apa yang kita perlu lakukan mestilah hadapinya walaupun pahit. Jangan sekekali lari dari masalah, tapi berusahalah untuk selesaikannya mengikut keupayaan kita. Dan cubalah untuk berfikiran positif sepositifnya, supaya kita at least mampu bertahan. Dan tidak salah jika mahu menangis, kerana menangis tidak semestinya kita mengalah tapi mungkin ianya satu kekuatan untuk kita teruskan perjuangan kehidupan kita.

Dan janganlah lupa untuk mengadu pada yang Mencipta masalah kita. Mungkin kita merasakan tiada seorang pun yang mampu memahami diri kita, tapi percayalah, Dia sentiasa ada untuk kita. Dan ingatlah hanya padanya terdapat penyelesaian bagi segala masalah kita. Moga kita sentiasa tabah dan berbaik sangka denganNya…WE LUV U, ALLAH…bimbinglah kami mencari cinta dan redhaMU…


p/s: inyaAllah daku akan kembali lagi (^__^)

Monday, November 21, 2011

Cepatnya masa berlalu....

Hari ni merupakan hari kedua bagi cuti akhir tahun persekolahan pada tahun 2011. Ini juga bermakna hampir setahun sudah saya menceburi diri dalam bidang mencorak insan secara langsung ini. Bidang yang sebenarnya tiada dalam perancangan hidup, namun ketentuan Allah itulah adalah segala-galanya. Perancangan hidup saya sebelum ini hanyalah mengenai angka-angka dan laporan serta mengatur kehidupan dengan kesibukan pada setiap hujung bulan ataupun pada masa-masa yang pick hour. Hasrat saya hanyalah untuk untuk mendapat 'tempat' dan 'sebaris' bersama-sama rakan-rakan yang lain. Namun, apa yang berlaku kadang-kadang tidak seperti yang kita mahukan. Sekarang kehidupan saya telah bertukar jauh dari apa yang amat saya sukai iaitu bermain dengan nombor, susah tapi keseronokan tetap ada di sana. Tapi, walau sekarang saya semakin jauh dengan dunia itu, saya tetap akur dengan pilihan saya sekarang. Walaupun berat pada mulanya, tapi sedikit demi sedikit dunia ini semakin saya sukai. Betullah kata seorang ustaz yang pernah memberi pengisian beliau dalam usrah yang saya hadiri bahawa setiap yang berlaku merupakan ujian. Jadi sebagai seorang mukmin, perkara yang terbaik yang perlu dilakukan hanyalah perlu bersyukur, redha dan bersabar dengan segala ketetapannya. Maka nanti, nescaya kita akan temui dan diperlihatkan hikmah yang tersembunyi, insyaAllah. Dan juga bukankah Allah telah berfirman di dalam kitabNya yang mulia bahawasanya:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai kepada sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah jualah yang Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216)

Di sepanjang kehidupan sebagai pendidik yang tak seberapa lamanya ini, banyak yang saya pelajari dan begitu juga semestinya banyak lagi yang perlu saya pelajari bagi menjadikan diri ini sebagai pendidik yang diredhaiNya. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi pendidik yang cemerlang yang bukan sahaja cemerlang di dunia tapi juga di akhirat. Ianya memerlukan kesabaran, kegigihan dan pengorbanan yang bukan sedikit. Makanya, perjalanan hidup saya dalam dunia pendidikan ini masih panjang yang semestinya penuh dengan ranjau durinya. Banyak lagi perlu saya cari, gali dan lengkapkan dalam diri supaya anak-anak didik saya nanti bukan sekadar berjaya dalam ujian, tapi juga berjaya dalam menghadapi mehnah kehidupan yang mengganas ini. Moga saya diberi kekuatan ke arah itu, ameen.

Sedar tak sedar, sudah lama juga saya tak menjengah blog sendiri dek kesibukan ini. Rasa rindu untuk menulis semakin menjadi. Moga saya tetap diberi kesempatan untuk selalu membelai blog kesayangan ini (",). Dan moga hari-hari yang mendatang akan memberi keberkatan kepada kita semua. Ayuh kita sibukkan diri kita dengan perkara-perkara yang berfaedah dan dapat merasakan kehambaan kita kepadaNya, insyaAllah....

Kenangan bersama anak didik sempena majlis perpisahan 2011

Tuesday, June 8, 2010

Jika aku jatuh cinta....

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...
Moga kita semua berada dalam redha dan naungan kasih sayangNya...

Mungkin ada sahabat tertanya-tanya dan pelik kenapa entry saya kali ini pasal cinta (",)... hehehe tengah mabuk cinta ka, atau tengah angau ni... apapun sebenarnya ianya merupakan sajak yang telah disyorkan oleh seorang sahabat saya untuk didengari dan dihayati... bolehlah hayatinya di link berikut
http://www.youtube.com/watch?v=RJoy6io06Hk

Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta Ya Allah, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMU…
Ya Muhaimin,
Jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu, agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu…
Ya Rabanna,
Jika aku jatuh hati,jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu…
Ya Rabbul Izzati,
Jika aku rindu, rindukanlah aku kepada seseorang yang merindui syahid dijalanMu…
Ya Allah,
Jika aku menikmati cinta kekasihMu Ya Allah, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu…
Ya Allah,
Jika aku jatuh hati kepada kekasihMu Ya Allah, jangan, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…
Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku melebihi kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu Ya Allah…
Amin Ya Rabbal Alamin…


Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah marilah sama-sama kita muhasabah diri kita. Sememangnya kita sangat suka kepada kesempurnaan. Kita mengidamkan bakal pasangan kita sempurna. Tak salah dan memang menjadi kewajipan ke atas kita sebenarnya untuk mendoakan kebaikan ke atas diri kita. Namun dari sisi yang lain sebaiknyalah sebelum kita mengimpikan pasangan kita seperti itu, kita sebenarnya yang perlu berusaha dahulu untuk menjadi seperti yang diidamkan oleh kita...

Jom kita koreksi diri kita, semoga ianya bermanfaat dalam kita mencari redhaNya.....

Ya setakat mana cinta dan tautan hati kita padaNya, adakah hidup kita sentiasa dalam mengingatiNya...
setakat mana pula kerinduan kita kepadaNya, apa pula tanda kita selalu merinduiNya...
dan sejauh mana pula pengorbanan kita, apakah kita sanggup untuk berkorban harta, masa, tenaga dan nyawa untuk agamaNya...
dan apakah kita sudah merasai kenikmatan bermunajat sepertiga malam kepadaNya..."

Ayuh, sama-samalah kita berusaha untuk mencapai tahap kemanisan itu. Saya tahu bukan senang tapi bukankah apa yang manis itu didapati dari susah payah. Moga kita semua dipermudahkan untuk menggapai cintaNya yang Agong.... ameen



Monday, June 7, 2010

Doa buat Palestine...


Ya Allah,
Sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka..

Ya Allah,
Hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Kacau bilaukan persatuan mereka,
Cerai beraikan pakatan mereka ,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah Ya Allah, anjing-anjingMu kepada mereka...

Wahai Tuhan yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan yang Penuh Raksasa
Wahai Tuhan yang Bersifat Murka
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah...

Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengerakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka...
Dan menangkan kami ke atas mereka...

Ameen Ya Rabbal 'Alameen

Monday, May 24, 2010

Ukhwah Fillah – Semanis Madu atau Sepahit Hempedu

Assalamu’alaikum dan salam ukhwah fillah…
Saya percaya sahabat-sahabat selalu mendengar kata-kata “Ukhwah Fillah Abada Abadan”, “Ukhwah Fillah Lestari Selamanya”, dan pelbagai lagi ungkapan yang berkaitan dengan ukhwah fillah. Saya pun kerap dalam muqadimah saya memulakan dengan kalimah salam dan ‘ukhwah fillah’ ini (“,). Terasa bahagia dihati kerana diberikan kesempatan untuk merasai kehebatan ikatan ukhwah kerana Allah ini. Tapi benarkah begitu hebat dan indahnya ukhwah yang terjalin kerana Allah ini? Terlintas di fikiran ukhwah Para Sahabat bersama Rasul tercinta. Oh indahnya, sanggup berkorban segalanya hatta nyawa sekalipun demi sahabat.

Tapi, itu zaman sahabat yang mendapat tarbiyyah terus dari Nabi Muhammad SAW. Persoalannya, masih wujud lagikah ukhwah seperti itu di zaman ini. Zaman yang penuh dengan tipu daya, pentingkan diri sendiri, dan pelbagai masalah hati yang semakin membarah. Masih wujudkah lagi sahabat yang sanggup mengorbankan dirinya untuk sahabatnya, seperti kisah Ikramah bin Abu Jahal, Suhail bin Amr dan Haris dalam Perang Yarmuk. Masih adakah lagi sahabat yang sanggup memberi harta peribadinya seperti apa yang dilakukan oleh sahabat Ansor kepada sahabat Muhajirin. Bagi saya, sirah-sirah hebat ini boleh berulang di zaman kita ini andai kita sanggup penuhi beberapa kriteria. Seperti kata Ustaz Hasrizal dalam banyak penulisannya ‘hidup untuk memberi’. Begitulah kita dalam bersahabat, andai kita sanggup untuk memberi tanpa minta balasan, maka kita akan mendapat merasai kenikmatannya. Ayuh, mari kita mulakanya dahulu, bukannya menunggu kebaikan daripada sahabat kita teerhadap kita. Saya tahu ianya bukan perkara yang mudah, tapi percayalah pasti ada kemanisannya yang akan menunggu kita, kalaupun tidak di dunia ini pasti di akhirat kita akan menikmatinya.

Dalam kita bersahabat, sudah pasti kita akan berjumpa dengan pelbagai kerenah sahabat-sahabat kita yang kadang-kadang akan menguji keimanan, kesabaran dan keikhlasan kita. Saya tahu bukan sedikit air mata akan tumpah kerana keterlukaan hati kita. Ingatlah andai itu yang terjadi, fikir-fikirkanlah bahawa sahabat kita itu hanya manusia biasa, seperti juga dengan kita, mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Fikirkanlah kebaikan-kebaikan yang telah beliau lakukan sebelum ini dan anggaplah itu salah satu dari ujian Allah untuk menguji keikhlasan kita. Mungkin inilah masanya untuk kita kembali muhasabah diri, adakah benar kita bersahabat dengannya kerana Allah atau hanya mainan bibir kita sahaja. Sesungguhnya Allah akan menguji kita, itu yang pasti. Setakat mana kita tahan di uji dan sabar menghadapinya itulah penanda aras persahabatan kita. Atau mungkin juga ianya salah satu daripada kafarah dosa kita kerana kita juga pernah secara sedar mahupun tidak telah melukai hati sahabat kita yang lain. Fikir-fikirkanlah yang positif supaya hati kita tenang, tidak berburuk sangka dan menyimpan dendam terhadapnya. Ambil yang jernih, buang yang keruh, maafkan kesalahannya dan redhalah dengan apa yang berlaku.

Dalam rukun baiah pula (yang saya kira bagi sahabat-sahabat yang mengintima’kan dirinya kepada Harakah Islamiyyah rasanya sudah ‘hadam’ perihal rukun Baiah yang 10 ini), terdapat satu rukun iaitu rukun yang kesembilan yang memperkatakan tentang ukhwah ini. Ukhwah atau persaudaraan ialah mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh sesama ahli jemaah dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga. Ikatan di atas dasar ketaatan kepada Allah ini akan mengikat hati-hati dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW yang bermaksud:
"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam mencapai tahap ukhwah yang sebenarnya, kita semua mempunyai kewajipan dan tanggungjawab ukhwah yang perlu dilaksanakan. Antaranya, ukhwah yang terjalin mestilah membawa kita kepada ketaatan kepada Allah. Selain itu, ukhwah yang sebenarnya membuat kita turut merasai keperluan-keperluan sahabat kita dan berusaha memenuhi keperluan tersebut. Sama-samalah kita renungi pesanan-pesanan dari Rasulullah dan seterusnya berusaha untuk menjadikan kita salah seorang yang diberi Allah akan kemanisan berukhwah kerana Allah ini.
"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim)

Akhir sekali, minggu lepas saya sempat mendengar kuliah jumaat di surau yang membicarakan tentang 7 golongan yang dinaungi oleh Arasy Allah SWT di padang Masyar kelak, di mana salah satu golongan adalah dua orang yang saling berkasih saying kerana Allah SWT, di mana mereka bertemu dan berpisah adalah kerana Allah. Ayuh sahabat-sahabatku, sama-samalah kita CUBA untuk menjadi seorang sahabat yang lebih mementingkan sahabat-sahabat daripada kepentingan kita sendiri walaupun kadang-kadang itulah yang susah untuk dilakukan. Bukankah dalam tingkatan ukwah yang tertinggi ialah itsar iaitu mendahulukan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri sendiri dalam perkara yang kita sukai. Kalaulah kita tidak mampu untuk mencapai tingkatan itsar ini biarlah kita dapat melepasi tingkatan yang paling rendah iaitu husnudzon iaitu bersih hati dari buruk sangka, hasad dengki dan benci sesama sahabat. Moga kita semua dipermudahkan dan berada di dalam kasih sayangNya jua (",)...

Thursday, May 13, 2010

Ujian Itu Tanda Kasih Sayang Allah

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dan kejahatan) yang dikerjakannya…..”

Hanya padaNya kuserahkan hidup ini. Ujian yang ditimpakan kepada diriku dan sahabat baru-baru ni terasa amat berat untuk ditanggung. Terasa macam langit dihempapkan ke atas diri ini dan bagaikan jatuh tersungkur tiada daya untuk bangun kembali. Lemah-longlai dan terasa kakiku sudah tidak mampu lagi untuk menampung badanku ini. Namun kugagahi juga menuju ke destinasi mengharapkan sinar harapan yang semakin pudar. Sudah ditakdirkan kami ‘kehilangan’ walaupun di lubuk hati kecil ini hingga saat ini masih mengharapkan kewujudannya. Namun aku tetap redha dengan apa yang berlaku kerana aku tahu setiap yang berlaku baik perkara yang baik mahupun yang buruk ada hikmahnya. Hanya pengetahuan Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa hikmahnya di sebalik musibah yang berlaku.

Aku cuba memujuk hati supaya menerimanya dengan penuh kesabaran. Namun, hasutan syaitan laknatullah kadang-kadang membuatkan hatiku begitu sedih. Hasutan-hasutan ‘andai aku’ sering menjelma di fikiran. Pertarungan ini begitu mempengaruhi diriku sehinggakan fikiranku menjadi buntu, tidak mampu berfikir apa yang perlu dilakukan dan emosiku menjadi begitu tidak stabil sehingga begitu mudah air mata membasahi pelupuk mata ini. Lebih teruk aku mengalami sakit kepala yang amat teruk. Nasihat-nasihat sahabat bukan semakin dimotivasi tapi menjadi aku semakin sebak. Aku merasakan betapa kerdilnya diri jika dibandingkan dengan nasihat yang diberikan. Terfikir diri ini adakah aku tidak redha dengan apa yang berlaku ‘andai aku’ sering bermain-main di fikiran. Tidak redhakah aku jika aku menangis teresak-esak. Ya Allah, aku tidak mahu ini terjadi. Engkau bagilah keredhaan dalam hatiku ini untuk aku redha dan menerima dengan hati yang tabah. Hanya padaMu ku memohon ditenangkan hati ini. Sesungguhnya Engkaulah yang memberi keresahan dan engkau jugalah yang menariknya kembali. Tolonglah hambaMu yang lemah ini. KeampunanMu yang kupinta di atas segala kesalahan dan kekhilafan diri ini.

Ya Allah, padamu kusujud dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan. Alhamdulillah setelah membaca berulang kali artikel ‘Jannah di sebalik musibah’ tulisan Ustaz Pahrol Joi yang dikirimkan oleh seorang sahabat membuatkan hati semakin tenang. Ayat-ayat dari tulisan beliau begitu menusuk dijiwa. Aku cuba mengambil pengajaran dan penghayatan …

“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

“………. mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah SWT inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah.

Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah SWT tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597)

Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?

…….Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.

Ya begitula kita, perlukan tazkirah dan tazkiyah dalam meniti hidup yang penuh ranjau ini supaya kita tidak tergelincir dari jalan kebaikan ini. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan. Sesungguhnya dengan ujianlah Allah memberi peluang kepada kita untuk membaiki diri ke arah yang lebih baik. Wahai sahabat-sahabatku, aku tahu dikau pun mempunyai masalah hidup yang berat dan membebankan perasaan. Tapi percayalah sahabatku, kita semua tidak akan diuji andai kita tidak mampu menghadapinya. Yakinlah Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu dan ingin mengangkat martabat kita. Yang penting sabar dan redha adalah yang terbaik disamping berusaha untuk mengatasi masalah tersebut. Dan bersyukurlah kerana kita masih diuji olehNya, tanda Dia masih mengingati kita dan ingin membawa kita kembali kepadaNya. Ayuh kita sama-sama koreksi diri kita dan menjadi hambaNya yang redha dengan segala ketentuan Allah dan moga Allah redha dengan kita. Amennn…

Hanya redhaMu kucari

Wednesday, April 21, 2010

Perjuangan ini....

Assalamu’alaikum dan salam ukhwah fillah…
Setelah sekian lama mencari ruang waktu yang luang, Alhamdulillah Allah masih memberi keizinanNya untuk saya meneruskan butir bicara di sini bagi mengisi ruang dakwah, tarbiyyah dan ruang kebaikan yang rasa saya semakin marak nyalaanya di alam maya ini. Moga Allah membalas segala usaha-usaha murni yang dilakukan oleh semua dengan balasan yang setimpalnya.

Disepanjang ketiadaan posting di alam maya ini, Alhamdulillah saya masih disibuk oleh Allah untuk bersama-sama berada di dalam kalangan para pejuangNya dalam meneruskan misi yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu. Moga saya dan sahabat-sahabat yang lain akan tetap istiqomah dalam jalan ini, insyaAllah.

Bermula dengan NRC, PBAU, Talkshow, APSA dan program-program yang telah dirancang, semuanya menuntut kepada komitmen yang bukan sedikit. Semuanya perlu dilaksanakan sehinggakan ilmu Aulawiyat terpaksa ‘dikeluarkan’ bagi melancarkan kehidupan ini. Dan setiap program yang telah dilaksanakan ini, pelbagai mehnah dan liku pula terpaksa dihadapi. Semuanya menuntut kepada kesabaran dan keteguhan hati kami semua. Allah telah mengajar kami dan Dia telah memperjelaskan lagi makna ukhwah, ketaatan dan keikhlasan dalam berjemaah. Banyak pengajaran dan iktibar boleh diambil walaupun sebenarnya pahit untuk ditelan. Sebenarnya bukan mudah untuk hidup di dalam perjuangan ini. Saya percaya anda sentiasa mendengar ini: “Perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani merah”. Tapi percayalah disepanjang jalan ini kita akan temui banyak kemanisan yang HANYA akan kita rasai bila berada di dalamnya. Tidak percaya…terjunlah di dalamnya baru anda merasai kemanisannya…Dan bukankah melalui kepahitanlah kita akan tahu erti kemanisan yang sebenarnya. Begitulah yang saya tahu….

Syabas kepada semua sahabat. Sesungguhnya kita semua saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana kita tidak dijadikan Allah dengan kesempurnaan. Kelemahan kita akan di top-up oleh sahabat yang lain. Itulah keistimewaan kita. Bukankah Allah telah berfirman melalui kalamNya yang suci bahawa:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang di jalanNya (untuk membela agamaNya) dalam sof yang teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh”
Ayuh kita susun sof kita dengan penuh ketaqwaan kepadaNya. Jom kita semarak perjuangan ini dengan penuh keikhlasan. Dengan itu mari kita semai benih ukhwah kita dengan husnu dzon, kita bajainya dengan banyak berlapang dada sesama kita. Dan kita siramilah ia dengan sirah persahabatan penghulu kita Rasulullah dengan para sahabat. Moga dengan usaha ini akan tumbuhlah pokok yang akhirnya dapat menaungi ummah yang ketandusan ini.


Monday, March 22, 2010

Rintihan Hatiku


Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...
senikata nasyid dari mawaddah ini sungguh memberi makna jika dihayati...selamat mendengar dan mendapat manfaat darinya... moga hiburan yang mendidik jiwa mampu kita mendekatkan lagi diri kita padaNya, InsyaAllah...ameen

Ya Allah Ya Rabbi
Dengarlah tangisan hatiku hambaMu yang hina ini
Terimalah taubatku
HambaMu yang banyak bersalah ini
Ampunkan dosa-dosaku

Engkaulah yang Maha Pengasih
Engkaulah yang Maha Penyayang
Engkaulah yang Maha Pengampun
Engkaulah Penerima Taubat

Rintihanku dengarlah deritaku kerna dosaku
Pengaduanku terimalah janganlah kecewakanku
Permintaanku…
Deritaku dengan dosa dan noda
Di atas perbuatanku yang telah terlanjur
Aku memohon dengan rahmatMu Tuhan
Ampunkan dosa-dosaku

Aku mengadu padaMu Tuhan
Engkaulah adalah tempat mengadu
Tiada siapa dapat mengampunkan
Kecuali Engkau wahai Tuhan

Aku telah menyesal di atas perbuatanku
Terimalah taubatku pimpinlah aku
Ku telah derita aku telah terseksa
Jadikan ketakutanku mensyafaatkanku


Puisi Imam Syafie

Assalamu'alaikum....

Ingin berkongsi satu puisi dari Ulama' besar iaitu Imam Syafie di saat menempuhi kesakitan dan saat-saat terakhir beliau di dunia menantikan pertemuan dengan tuhannya. Serangkap puisi yang menarik perhatian saya ini saya temui di dalam buku Novel Sejarah Islam karangan Abdul Latip Talib. Moga ianya menjadi muhasabah untuk kita semua....

"Bila hatiku keras degil
dan kemahuanku menjadi sempit
aku jadikan keampunan Engkau sebagai harapan
dosaku mungkin besar
tetapi keampunan Engkau lebih besar
Engkau pemilik keampunan
dan masih tetap mengampunkan
jika Engkau tidak izinkan
iblis tidak dapat menggoda
adam hambaMu yang suci
sampai dia boleh diperdayakan
ampuni aku wahai tuhanku"



About This Blog

"ilahi anta maqsudi waridhaka mathlubi"
Ya Ilahi, Engkaulah tempat matlamat dan tujuanku, dan hanya keredhaanMulah yang sentiasa menjadi cita-citaku