RSS

Tuesday, June 8, 2010

Jika aku jatuh cinta....

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...
Moga kita semua berada dalam redha dan naungan kasih sayangNya...

Mungkin ada sahabat tertanya-tanya dan pelik kenapa entry saya kali ini pasal cinta (",)... hehehe tengah mabuk cinta ka, atau tengah angau ni... apapun sebenarnya ianya merupakan sajak yang telah disyorkan oleh seorang sahabat saya untuk didengari dan dihayati... bolehlah hayatinya di link berikut
http://www.youtube.com/watch?v=RJoy6io06Hk

Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta Ya Allah, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMU…
Ya Muhaimin,
Jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu, agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu…
Ya Rabanna,
Jika aku jatuh hati,jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu…
Ya Rabbul Izzati,
Jika aku rindu, rindukanlah aku kepada seseorang yang merindui syahid dijalanMu…
Ya Allah,
Jika aku menikmati cinta kekasihMu Ya Allah, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu…
Ya Allah,
Jika aku jatuh hati kepada kekasihMu Ya Allah, jangan, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…
Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku melebihi kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu Ya Allah…
Amin Ya Rabbal Alamin…


Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah marilah sama-sama kita muhasabah diri kita. Sememangnya kita sangat suka kepada kesempurnaan. Kita mengidamkan bakal pasangan kita sempurna. Tak salah dan memang menjadi kewajipan ke atas kita sebenarnya untuk mendoakan kebaikan ke atas diri kita. Namun dari sisi yang lain sebaiknyalah sebelum kita mengimpikan pasangan kita seperti itu, kita sebenarnya yang perlu berusaha dahulu untuk menjadi seperti yang diidamkan oleh kita...

Jom kita koreksi diri kita, semoga ianya bermanfaat dalam kita mencari redhaNya.....

Ya setakat mana cinta dan tautan hati kita padaNya, adakah hidup kita sentiasa dalam mengingatiNya...
setakat mana pula kerinduan kita kepadaNya, apa pula tanda kita selalu merinduiNya...
dan sejauh mana pula pengorbanan kita, apakah kita sanggup untuk berkorban harta, masa, tenaga dan nyawa untuk agamaNya...
dan apakah kita sudah merasai kenikmatan bermunajat sepertiga malam kepadaNya..."

Ayuh, sama-samalah kita berusaha untuk mencapai tahap kemanisan itu. Saya tahu bukan senang tapi bukankah apa yang manis itu didapati dari susah payah. Moga kita semua dipermudahkan untuk menggapai cintaNya yang Agong.... ameen



Monday, June 7, 2010

Doa buat Palestine...


Ya Allah,
Sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka..

Ya Allah,
Hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Kacau bilaukan persatuan mereka,
Cerai beraikan pakatan mereka ,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah Ya Allah, anjing-anjingMu kepada mereka...

Wahai Tuhan yang Gagah Perkasa
Wahai Tuhan yang Penuh Raksasa
Wahai Tuhan yang Bersifat Murka
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah...

Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengerakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka...
Dan menangkan kami ke atas mereka...

Ameen Ya Rabbal 'Alameen

Monday, May 24, 2010

Ukhwah Fillah – Semanis Madu atau Sepahit Hempedu

Assalamu’alaikum dan salam ukhwah fillah…
Saya percaya sahabat-sahabat selalu mendengar kata-kata “Ukhwah Fillah Abada Abadan”, “Ukhwah Fillah Lestari Selamanya”, dan pelbagai lagi ungkapan yang berkaitan dengan ukhwah fillah. Saya pun kerap dalam muqadimah saya memulakan dengan kalimah salam dan ‘ukhwah fillah’ ini (“,). Terasa bahagia dihati kerana diberikan kesempatan untuk merasai kehebatan ikatan ukhwah kerana Allah ini. Tapi benarkah begitu hebat dan indahnya ukhwah yang terjalin kerana Allah ini? Terlintas di fikiran ukhwah Para Sahabat bersama Rasul tercinta. Oh indahnya, sanggup berkorban segalanya hatta nyawa sekalipun demi sahabat.

Tapi, itu zaman sahabat yang mendapat tarbiyyah terus dari Nabi Muhammad SAW. Persoalannya, masih wujud lagikah ukhwah seperti itu di zaman ini. Zaman yang penuh dengan tipu daya, pentingkan diri sendiri, dan pelbagai masalah hati yang semakin membarah. Masih wujudkah lagi sahabat yang sanggup mengorbankan dirinya untuk sahabatnya, seperti kisah Ikramah bin Abu Jahal, Suhail bin Amr dan Haris dalam Perang Yarmuk. Masih adakah lagi sahabat yang sanggup memberi harta peribadinya seperti apa yang dilakukan oleh sahabat Ansor kepada sahabat Muhajirin. Bagi saya, sirah-sirah hebat ini boleh berulang di zaman kita ini andai kita sanggup penuhi beberapa kriteria. Seperti kata Ustaz Hasrizal dalam banyak penulisannya ‘hidup untuk memberi’. Begitulah kita dalam bersahabat, andai kita sanggup untuk memberi tanpa minta balasan, maka kita akan mendapat merasai kenikmatannya. Ayuh, mari kita mulakanya dahulu, bukannya menunggu kebaikan daripada sahabat kita teerhadap kita. Saya tahu ianya bukan perkara yang mudah, tapi percayalah pasti ada kemanisannya yang akan menunggu kita, kalaupun tidak di dunia ini pasti di akhirat kita akan menikmatinya.

Dalam kita bersahabat, sudah pasti kita akan berjumpa dengan pelbagai kerenah sahabat-sahabat kita yang kadang-kadang akan menguji keimanan, kesabaran dan keikhlasan kita. Saya tahu bukan sedikit air mata akan tumpah kerana keterlukaan hati kita. Ingatlah andai itu yang terjadi, fikir-fikirkanlah bahawa sahabat kita itu hanya manusia biasa, seperti juga dengan kita, mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Fikirkanlah kebaikan-kebaikan yang telah beliau lakukan sebelum ini dan anggaplah itu salah satu dari ujian Allah untuk menguji keikhlasan kita. Mungkin inilah masanya untuk kita kembali muhasabah diri, adakah benar kita bersahabat dengannya kerana Allah atau hanya mainan bibir kita sahaja. Sesungguhnya Allah akan menguji kita, itu yang pasti. Setakat mana kita tahan di uji dan sabar menghadapinya itulah penanda aras persahabatan kita. Atau mungkin juga ianya salah satu daripada kafarah dosa kita kerana kita juga pernah secara sedar mahupun tidak telah melukai hati sahabat kita yang lain. Fikir-fikirkanlah yang positif supaya hati kita tenang, tidak berburuk sangka dan menyimpan dendam terhadapnya. Ambil yang jernih, buang yang keruh, maafkan kesalahannya dan redhalah dengan apa yang berlaku.

Dalam rukun baiah pula (yang saya kira bagi sahabat-sahabat yang mengintima’kan dirinya kepada Harakah Islamiyyah rasanya sudah ‘hadam’ perihal rukun Baiah yang 10 ini), terdapat satu rukun iaitu rukun yang kesembilan yang memperkatakan tentang ukhwah ini. Ukhwah atau persaudaraan ialah mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh sesama ahli jemaah dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga. Ikatan di atas dasar ketaatan kepada Allah ini akan mengikat hati-hati dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW yang bermaksud:
"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam mencapai tahap ukhwah yang sebenarnya, kita semua mempunyai kewajipan dan tanggungjawab ukhwah yang perlu dilaksanakan. Antaranya, ukhwah yang terjalin mestilah membawa kita kepada ketaatan kepada Allah. Selain itu, ukhwah yang sebenarnya membuat kita turut merasai keperluan-keperluan sahabat kita dan berusaha memenuhi keperluan tersebut. Sama-samalah kita renungi pesanan-pesanan dari Rasulullah dan seterusnya berusaha untuk menjadikan kita salah seorang yang diberi Allah akan kemanisan berukhwah kerana Allah ini.
"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim)

Akhir sekali, minggu lepas saya sempat mendengar kuliah jumaat di surau yang membicarakan tentang 7 golongan yang dinaungi oleh Arasy Allah SWT di padang Masyar kelak, di mana salah satu golongan adalah dua orang yang saling berkasih saying kerana Allah SWT, di mana mereka bertemu dan berpisah adalah kerana Allah. Ayuh sahabat-sahabatku, sama-samalah kita CUBA untuk menjadi seorang sahabat yang lebih mementingkan sahabat-sahabat daripada kepentingan kita sendiri walaupun kadang-kadang itulah yang susah untuk dilakukan. Bukankah dalam tingkatan ukwah yang tertinggi ialah itsar iaitu mendahulukan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri sendiri dalam perkara yang kita sukai. Kalaulah kita tidak mampu untuk mencapai tingkatan itsar ini biarlah kita dapat melepasi tingkatan yang paling rendah iaitu husnudzon iaitu bersih hati dari buruk sangka, hasad dengki dan benci sesama sahabat. Moga kita semua dipermudahkan dan berada di dalam kasih sayangNya jua (",)...

Thursday, May 13, 2010

Ujian Itu Tanda Kasih Sayang Allah

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dan kejahatan) yang dikerjakannya…..”

Hanya padaNya kuserahkan hidup ini. Ujian yang ditimpakan kepada diriku dan sahabat baru-baru ni terasa amat berat untuk ditanggung. Terasa macam langit dihempapkan ke atas diri ini dan bagaikan jatuh tersungkur tiada daya untuk bangun kembali. Lemah-longlai dan terasa kakiku sudah tidak mampu lagi untuk menampung badanku ini. Namun kugagahi juga menuju ke destinasi mengharapkan sinar harapan yang semakin pudar. Sudah ditakdirkan kami ‘kehilangan’ walaupun di lubuk hati kecil ini hingga saat ini masih mengharapkan kewujudannya. Namun aku tetap redha dengan apa yang berlaku kerana aku tahu setiap yang berlaku baik perkara yang baik mahupun yang buruk ada hikmahnya. Hanya pengetahuan Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa hikmahnya di sebalik musibah yang berlaku.

Aku cuba memujuk hati supaya menerimanya dengan penuh kesabaran. Namun, hasutan syaitan laknatullah kadang-kadang membuatkan hatiku begitu sedih. Hasutan-hasutan ‘andai aku’ sering menjelma di fikiran. Pertarungan ini begitu mempengaruhi diriku sehinggakan fikiranku menjadi buntu, tidak mampu berfikir apa yang perlu dilakukan dan emosiku menjadi begitu tidak stabil sehingga begitu mudah air mata membasahi pelupuk mata ini. Lebih teruk aku mengalami sakit kepala yang amat teruk. Nasihat-nasihat sahabat bukan semakin dimotivasi tapi menjadi aku semakin sebak. Aku merasakan betapa kerdilnya diri jika dibandingkan dengan nasihat yang diberikan. Terfikir diri ini adakah aku tidak redha dengan apa yang berlaku ‘andai aku’ sering bermain-main di fikiran. Tidak redhakah aku jika aku menangis teresak-esak. Ya Allah, aku tidak mahu ini terjadi. Engkau bagilah keredhaan dalam hatiku ini untuk aku redha dan menerima dengan hati yang tabah. Hanya padaMu ku memohon ditenangkan hati ini. Sesungguhnya Engkaulah yang memberi keresahan dan engkau jugalah yang menariknya kembali. Tolonglah hambaMu yang lemah ini. KeampunanMu yang kupinta di atas segala kesalahan dan kekhilafan diri ini.

Ya Allah, padamu kusujud dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan. Alhamdulillah setelah membaca berulang kali artikel ‘Jannah di sebalik musibah’ tulisan Ustaz Pahrol Joi yang dikirimkan oleh seorang sahabat membuatkan hati semakin tenang. Ayat-ayat dari tulisan beliau begitu menusuk dijiwa. Aku cuba mengambil pengajaran dan penghayatan …

“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

“………. mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah SWT inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah.

Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah SWT tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597)

Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?

…….Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.

Ya begitula kita, perlukan tazkirah dan tazkiyah dalam meniti hidup yang penuh ranjau ini supaya kita tidak tergelincir dari jalan kebaikan ini. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan. Sesungguhnya dengan ujianlah Allah memberi peluang kepada kita untuk membaiki diri ke arah yang lebih baik. Wahai sahabat-sahabatku, aku tahu dikau pun mempunyai masalah hidup yang berat dan membebankan perasaan. Tapi percayalah sahabatku, kita semua tidak akan diuji andai kita tidak mampu menghadapinya. Yakinlah Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu dan ingin mengangkat martabat kita. Yang penting sabar dan redha adalah yang terbaik disamping berusaha untuk mengatasi masalah tersebut. Dan bersyukurlah kerana kita masih diuji olehNya, tanda Dia masih mengingati kita dan ingin membawa kita kembali kepadaNya. Ayuh kita sama-sama koreksi diri kita dan menjadi hambaNya yang redha dengan segala ketentuan Allah dan moga Allah redha dengan kita. Amennn…

Hanya redhaMu kucari

Wednesday, April 21, 2010

Perjuangan ini....

Assalamu’alaikum dan salam ukhwah fillah…
Setelah sekian lama mencari ruang waktu yang luang, Alhamdulillah Allah masih memberi keizinanNya untuk saya meneruskan butir bicara di sini bagi mengisi ruang dakwah, tarbiyyah dan ruang kebaikan yang rasa saya semakin marak nyalaanya di alam maya ini. Moga Allah membalas segala usaha-usaha murni yang dilakukan oleh semua dengan balasan yang setimpalnya.

Disepanjang ketiadaan posting di alam maya ini, Alhamdulillah saya masih disibuk oleh Allah untuk bersama-sama berada di dalam kalangan para pejuangNya dalam meneruskan misi yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu. Moga saya dan sahabat-sahabat yang lain akan tetap istiqomah dalam jalan ini, insyaAllah.

Bermula dengan NRC, PBAU, Talkshow, APSA dan program-program yang telah dirancang, semuanya menuntut kepada komitmen yang bukan sedikit. Semuanya perlu dilaksanakan sehinggakan ilmu Aulawiyat terpaksa ‘dikeluarkan’ bagi melancarkan kehidupan ini. Dan setiap program yang telah dilaksanakan ini, pelbagai mehnah dan liku pula terpaksa dihadapi. Semuanya menuntut kepada kesabaran dan keteguhan hati kami semua. Allah telah mengajar kami dan Dia telah memperjelaskan lagi makna ukhwah, ketaatan dan keikhlasan dalam berjemaah. Banyak pengajaran dan iktibar boleh diambil walaupun sebenarnya pahit untuk ditelan. Sebenarnya bukan mudah untuk hidup di dalam perjuangan ini. Saya percaya anda sentiasa mendengar ini: “Perjuangan ini tidak dihampar dengan permaidani merah”. Tapi percayalah disepanjang jalan ini kita akan temui banyak kemanisan yang HANYA akan kita rasai bila berada di dalamnya. Tidak percaya…terjunlah di dalamnya baru anda merasai kemanisannya…Dan bukankah melalui kepahitanlah kita akan tahu erti kemanisan yang sebenarnya. Begitulah yang saya tahu….

Syabas kepada semua sahabat. Sesungguhnya kita semua saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana kita tidak dijadikan Allah dengan kesempurnaan. Kelemahan kita akan di top-up oleh sahabat yang lain. Itulah keistimewaan kita. Bukankah Allah telah berfirman melalui kalamNya yang suci bahawa:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang di jalanNya (untuk membela agamaNya) dalam sof yang teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh”
Ayuh kita susun sof kita dengan penuh ketaqwaan kepadaNya. Jom kita semarak perjuangan ini dengan penuh keikhlasan. Dengan itu mari kita semai benih ukhwah kita dengan husnu dzon, kita bajainya dengan banyak berlapang dada sesama kita. Dan kita siramilah ia dengan sirah persahabatan penghulu kita Rasulullah dengan para sahabat. Moga dengan usaha ini akan tumbuhlah pokok yang akhirnya dapat menaungi ummah yang ketandusan ini.


Monday, March 22, 2010

Rintihan Hatiku


Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...
senikata nasyid dari mawaddah ini sungguh memberi makna jika dihayati...selamat mendengar dan mendapat manfaat darinya... moga hiburan yang mendidik jiwa mampu kita mendekatkan lagi diri kita padaNya, InsyaAllah...ameen

Ya Allah Ya Rabbi
Dengarlah tangisan hatiku hambaMu yang hina ini
Terimalah taubatku
HambaMu yang banyak bersalah ini
Ampunkan dosa-dosaku

Engkaulah yang Maha Pengasih
Engkaulah yang Maha Penyayang
Engkaulah yang Maha Pengampun
Engkaulah Penerima Taubat

Rintihanku dengarlah deritaku kerna dosaku
Pengaduanku terimalah janganlah kecewakanku
Permintaanku…
Deritaku dengan dosa dan noda
Di atas perbuatanku yang telah terlanjur
Aku memohon dengan rahmatMu Tuhan
Ampunkan dosa-dosaku

Aku mengadu padaMu Tuhan
Engkaulah adalah tempat mengadu
Tiada siapa dapat mengampunkan
Kecuali Engkau wahai Tuhan

Aku telah menyesal di atas perbuatanku
Terimalah taubatku pimpinlah aku
Ku telah derita aku telah terseksa
Jadikan ketakutanku mensyafaatkanku


Puisi Imam Syafie

Assalamu'alaikum....

Ingin berkongsi satu puisi dari Ulama' besar iaitu Imam Syafie di saat menempuhi kesakitan dan saat-saat terakhir beliau di dunia menantikan pertemuan dengan tuhannya. Serangkap puisi yang menarik perhatian saya ini saya temui di dalam buku Novel Sejarah Islam karangan Abdul Latip Talib. Moga ianya menjadi muhasabah untuk kita semua....

"Bila hatiku keras degil
dan kemahuanku menjadi sempit
aku jadikan keampunan Engkau sebagai harapan
dosaku mungkin besar
tetapi keampunan Engkau lebih besar
Engkau pemilik keampunan
dan masih tetap mengampunkan
jika Engkau tidak izinkan
iblis tidak dapat menggoda
adam hambaMu yang suci
sampai dia boleh diperdayakan
ampuni aku wahai tuhanku"



Thursday, March 11, 2010

Jom pi Nisa' River Camping


Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...

Kepada adik-adik, sahabat-sahabat dan kakak-kakak yang berminat dalam aktiviti lasak, jom kita sama-sama merasai pengalaman ini...Di samping kita berpeluang membina keyakinan diri, menguji ketahanan fizikal kita, di harap kita semua mampu untuk merasai kehadiran Allah dalam kehidupan kita melalui makhluk ciptaanNya yang bernama alam...Moga alam yang penuh keindahan ini mampu membawa kita mengenali pencipta yang Maha Agong dan seterusnya meningkatkan kecintaan kita padaNya, insyaAllah...

Wednesday, March 3, 2010

Selamat Pengantin Baru Sahabatku...

Assalamu’alaikum dan salam ukhwah fillah…
Di dalam kesibukan hujung bulan yang amat menuntut komitmen yang tinggi, Alhamdulillah, Allah masih memberi keluangan masa untuk saya menghadiri seterusnya meraikan majlis berbahagia salah seorang sahabat seperjuangan Nisa’ WP bersama-sama sahabat-sahabat yang lain. Tahniah diucapkan kepada kak ct dan pasangan pilihannya. BarakaLlahu fikum, moga berbahagia hingga ke syurga dan menjadikan baitul muslim ini sebagai wasilah untuk terus berada di medan dakwah dan melahirkan jundullah-jundullah yang ‘dihausi’ oleh ummah.

Rasulullah S.A.W, kekasih agung pernah bersabda yang bermaksud :
“Sekiranya seorang wanita menjaga solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya, dan mematuhi suaminya, akan dikatakan kepadanya, Masuklah ke dalam syurga pintu mana sahaja yang yang engkau suka. ”
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban, Ahmad dan at-Thabarani)

Sungguh besar ganjaran yang diberikan Allah kepada seorang perempuan yang berkahwin berbanding dengan yang bujang. Mudah sungguh untuk mendapat pahala. Begitu juga betapa besar dan beratnya amanah dan tangungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan apabila sudah menjadi isteri mahupun apabila sudah bergelar seorang ibu. Itulah aturanNya, dan kita sebagai hambaNya jangan sesekali menolak sunnatullah ini. Moga kita semua diizinkan Allah menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah. Moga dari zuriat kita akan lahirlah jundullah dan jundillah, mata-mata rantai yang akan memartabatkan islam di dunia ini amen.

Buat semua sahabat yang akan melangsungkan perkahwinan masing-masing, ‘advance’ tahniah diucapkan. Doaku selalu bersama kalian, insyaAllah. Dan kepada yang belum ketemu, banyak-banyakla bersabar, berdoa, berusaha dan bertawakal. Hanya itu yang mampu kita lakukan sebagai hambaNya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Pengetahuan Allah mengatasi segala-galanya….

Friday, February 26, 2010

Sendiri menyepi

Sendiri menyepi
Tenggelam dalam renungan
Ada apa aku
Seakanku jauh dari ketenangan
Perlahanku cari
Mengapa diriku hampa
Mungkin ada salah
Mungkinku tersesat
Mungkin dan mungkin lagi
Oh Tuhan aku merasa
Sendiri menyepi
Inginku menangis
Menyesali diri mengapa terjadi
Sampai kapanku begini
Resah tak bertepi
Kembalikan aku pada cahayaMu yang sempat menyala
Benderang di hidupku


Munsyid: edcoustic

Wednesday, February 17, 2010

Kehidupan

Assalamu’alaikum dan salam ukhwah fillah…
Alhamdulillah pagi ni saya berkesempatan untuk menjenguk inbox saya yang selalunya penuh dengan email sahabat-sahabat. Terima kasih kepada semua sahabat kerana dengan kunjungan email itu bermaksud saya tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Dari banyak email yang saya terima, saya tertarik dengan email seorang sahabat tentang kisah kegigihan seorang OKU dalam meneruskan kehidupan ini. Artikel tersebut telah dikeluarkan oleh Harakahdaily yang mana wartawannya juga merupakan sahabat saya sendiri. Sahabat-sahabat boleh membacanya di sini:
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24693:kisah-masyarakat-omar-tidak-jadikan-gelaran-oku-alasan-berpeluk-tubuh&catid=98:tamu-dan-wawancara&Itemid=144

Semangat beliau perlu kita contohi, tambahan kita ini cukup sempurna dianugerahkan olehNya. Tiada alasan untuk kita berkata tidak boleh. Yang penting kita perlu berusaha, disamping berdoa dan seterusnya barulah bertawakal padaNya. Sesungguhnya setiap kita akan diuji, dan tiada siapa yang terlepas dari ujian Allah. Cuma yang membezakan hanyalah besar atau kecil, senang atau susah, dan bagaimana kita menghadapi. Teringat entry seorang sahabat dalam blognya tentang ujian. Sahabat semua boleh membacanya di link di bawah ini. Semoga kita mendapat manfaat darinya.
http://khairulaznan.wordpress.com/2010/01/29/mati-di-pintu-bilik/

Di sepanjang bergerak dengan Muslimat dan Nisa’ Wangsa Maju, saya banyak bertemu dengan pelbagai masalah kehidupan masyarakat. Terbaru saya bertemu dengan seorang ibu yang terpaksa meminjam daripada along untuk menyara persekolahan anak-anaknya. Ibu ini sebenarnya adalah antara keluarga yang kami bantu sempena sesi persekolahan yang baru dibuka kira-kira akhir bulan disember yang lepas. Nisa’ Small Kindness atau lebih dikenali NSK merupakan antara program kami dalam meringan beban mereka yang susah. Walaupun kami tahu sumbangan kami tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kesusahan yang mereka hadapi, tapi kami berharap sekurang-kurang ianya mampu mengurangkan kesusahan mereka walaupun sedikit. Hanya itu yang kami mampu bantu dengan kengkangan kewangan kami. Namun begitu, apabila saya mengetahui ibu tadi telah meminjam daripada along, hati saya merasakan kurang senang. Tertanya-tanya dihati saya, kenapa si ibu sanggup meletakkan kehidupannya malah keluarganya kepada seorang yang tidak berhati perut. Sanggupkah nanti dia menerima perkara-perkara yang tidak diduga di akal semata-mata kerana RM1,000. Tidakkah dia memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku sebelum tekad membuat keputusan. Di pihak kami Nisa'WM, kami sendiri pun tidak mampu untuk menolong beliau menyelesaikan masalah hutangnya. Namun, di hati kecil saya berharap si ibu mampu untuk mencari jalan keluar dari segala masalahnya tanpa sanggup untuk menggadaikan maruah dan pegangannya.

Sungguh banyak masalah masyarakat perlu kita hadapi, maka sebanyak itu jugalah tanggungjawab yang perlu kita pikul. Kita tidak boleh membiarkan mereka kerana mereka juga mempunyai hak ke atas diri kita dan begitulah sebaliknya, kita juga mempunyai hak ke atas mereka. Ayuh sahabat-sahabat, kita menyusun saf dan bersama-sama mereka yang telah lama terjun dan bergelumang dengan mehnah masyarakat. Jangan kita berlengah-lengah dan beralasan lagi, kerana sesungguhnya masa yang kita ada amat sedikit berbanding kerja yang perlu kita buat.


Monday, February 15, 2010

Program kami Nisa' Wangsa Maju



Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...
Bagi melengkapkan lagi diari nisa' wangsa maju dalam usaha mengajak masyarakat ke arah keredhaanNya, kami dengan rendah hati menjemput ibu-ibu dan anak-anak remaja perempuan menyertai kami memeriahkan program ini. Program yang bermatlamat antara lain dapat mengeratkan lagi hubungan antara ibu dan anak ini, diharap dapat menjadi satu titik untuk kita berubah kepada yang lebih baik dan seterusnya menjadi yang terbaik...Jumpa di sana, di sana....

Sunday, February 14, 2010

Jemput Datang ke Talkshow Nisa'WP

Wednesday, February 3, 2010

Ketentuan itu PASti

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...

Bulan Januari 2010 telah berlalu meninggalkan kita semua. Ini bemakna, masa yang kita ada untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan juga semakin sedikit. Cepat sungguh masa berlalu. Terasa baru saja menyambut tahun baru ‘di perkaranagan’ dataran KLCC bersama-sama sahabat-sahabat nisa’ dan pemuda menjalankan amanah mengajak masyarakat kembali ke jalan yang di redhaiNya.
Sekarang dalam melangkahi fasa kedua 2010 dan fasa-fasa yang seterusnya, kekuatan perlu dijanakan dengan semaksimanya supaya hanya yang terbaik dan bernilai dapat dihasilkan. Begitu banyak perkara yang bulan lepas belum diselesaikan di tambah dengan perancanga yang seterusnya perlu dilaksanakan. Itu semuanya memerlukan pertolongan dariNya, kerana tanpa bantuanNya, tiada perkara mampu dilaksanakan. Kita hanyalah makhlukNya yang sangat lemah dan amat memerlukanNya dalam semua urusan kita.
Setiap detik yang berlalu, PASti tidak akan sunyi dengan perkara-perkara yang telah ditetapkanNya. Berita kelahiran, berita kematian, berita tragedi, berita gembira sering kali menjadi halwa pendengaran dan juga topik perbualan kita. Bagi yang terlibat secara langsung dengan perjuangan islam pula, cerita-cerita program, masalah masyarakat, masalah jemaah pula menjadi pelengkap dalam kehidupan seharian. Apa yang PASti, setiap yang berlaku ada hikmah dan pengajaran disebaliknya. Hanya hambaNya yang berfikir dan bertaqwa yang mampu mangambil iktibar di atas apa yang berlaku. Marilah sama-sama kita memuhasabah diri supaya segala yang terjadi dalam hidup kita dan orang yang dekat dengan kita menjadi satu momentum untuk kita lebih mendekatkan diri kita pada Yang Maha Pencipta. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Ya Allah, Engkau jadikanlah kami hambaMu yang sangat lemah ini mampu mengambil manfaat dengan apa yang berlaku. Janganlah Engkau tinggalkan kami Ya Allah. Tegurlah kami andai kami membuat kesilapan. Ya Allah, Engkau kurniakanlah taufiq dan hidayahMu dalam kami meneruskan perjalanan ini.
Setiap kita mempunyai misi kehidupan masing-maing. Samada misi itu merupakan misi jangka panjang mahupun pendek, masing-masing akan berusaha untuk merealisasikannya. Teringat kata-kata seorang sahabat, misinya tahun ini adalah untuk kahwin. Alhamdulillah misi yang baik, kerana sebagai seorang islam, kahwin tu kan separuh daripada agama. Selain itu, bagi seorang perempuan pahala seorang isteri lebih banyak daripada pahala amalan orang bujang. Jom, sama-sama kita merebutnya. Namun, jika sudah ditakdirkan seseorang itu lambat jodohnya, jangan pula disalahkan takdir. PASti ada sesuatu yang Allah tentukan untuknya. Bersabarlah dan jangan lupa untuk berdoa meminta dariNya. Yang penting, jangan berputus harap dan bersangka buruk denganNya. Ya Allah, kurniakanlah kami teman yang soleh, yang akan membimbing kami kearah keredhaanMu.
Selain misi-misi personal yang menjadi hak kita itu, jangan dilupakan misi-misi jemaah kita. Sama-samalah kita mengembeling tenaga sepenuhnya untuk islam. Syabas dan ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang tidak jemu-jemu menghempas pulas dan berpenat lelah dalam menjayakan program-program yang dirancang. Selepas satu selesai yang lain pula menyusul. Sesungguhnya itu semua memerlukan komitmen dan pengorbanan yang cukup besar dari kita semua. Janganlah mengeluh dengan bebanan amanah yang dipertanggungjawabkan, kerana jika dibandingkan kita dengan para sahabat, rasanya jauhnya kita dengan mereka. Kita hanya perlu ikhlaskan segala kerja kita supaya nanti ianya tidak sia-sia. Ya Allah, teguhkan kami dalam jalan ini. Ikhlaskan kami dan hanya mengharapkan balasan dariMu. Jauhkan kami dari sifat ria’ dan membangga diri walaupun hanya bermain di hati kami. Ya Allah, perkenankanlah doa kami ini.

Thursday, January 21, 2010

Kelas Tafaqquh Kembali

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah,

Di sini ingin mewar-warkan kuliah ilmu yang akan diadakan pada 24 Januari ini bertempat di Tingkat 1, Balai Islam, Jalan Ipoh...Untuk pengetahuan, majlis ilmu ini akan diadakan pada hari ahad minggu keempat setiap bulan dari pukul 10-11.30 pagi... Ianya merupakan sedikit usaha daripada Perkim Cawangan Sentul Timur dalam memeriahkan lagi 'taman-taman syurga' di sekitar Lembah Kelang ini...Moga ianya sedikit sebanyak mampu menghilangkan 'dahaga' ilmu yang dihadapi oleh umat di akhir zaman ini...mogo usaha ini akan dipandang olehNya sebagai salah satu amalan soleh kita semua...

Jumpa di sana ye....

Tuesday, January 12, 2010

Talkshow: Mencari Nur Kasih Hijrah

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua sahabat dan peserta konvensyen yang lepas...semoga segala amal buat kita akan dinilai olehNya yang Maha Penyayang...amenn

Dikesempatan ruang waktu, tenaga dan kemampuan yang sedikit ini, saya mewakili sahabat-sahabat dari Nisa'WM menjemput semua memeriahkan majlis ilmu ini...moga kita masih menjadi pilihan Allah untuk menghidupkan taman-taman syurga ini...


Sajak Seindah Bidadari Syurga - Sempena Konvensyen Nisa'WP

Assalamu'alaikum dan salam ukhwah fillah...

Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi sebuah sajak yang dideklamasikan oleh sahabat AJK Nisa'WP pada Konvensyen Nisa'WP yang lalu...moga kita semua menjadikannya satu motivasi dalam mengharungi hidup sebagai salah seorang hambaNya yang terpilih dalam menyebarkan risalah dakwah ini...

Seindah Bidadari Syurga...

Aduhai bidadari syurga...
Mendengar lagu dan membaca hikayat kalian membuatkan aku tertanya-tanya.
Mampukah aku menjadi seperti kalian?
Layakkah aku berdiri di sisi kalian?
Sedangkan perjuangan ku tak tersaing dengan kalian dan
kehambaanku tak sehebat pengabdian kalian…..
Riwayat bidadari syurga, menambat hatiku pada Yang Esa…

Al-Khansaa` berpuisi pada putera-puteranya:
“Wahai putera-puteraku,
Jika kamu bangun esok pagi
Keluarlah memerangi musuh-musuh Allah
Dan keranaNya, kamu akan mendapat kemenangan.”
Begitulah Al-Khansaa`
Tidak diratapi putera-puteranya yang gugur
Tidak disesali putera-puteranya yang syahid…

Iman dan taqwa ini
Begitu menusuk jiwanya
Hingga pujukan ayahnya
Gagal melenturkan hatinya
Ayahnya Musyriq
Suaminya Nasrani
Wahai Ramlah,
Kesabaranmu diganjari Allah
Ayahmu menjadi muslim
Dan suamimu kini Rasulullah S.A.W..

Tanpa gentar engkau berjuang
Penuh megah kau julangi panji-panji Islam
Wahai Nasibah
Engkau adalah lambang
Kegagahan seorang wanita…

Yang bijak, yang anggun
Yang tegas, yang lembut
Dirimu pelengkap sifat wanita
Kesetiaanmu pada Uthman tiada tandingan
Wahai Nai`lah Al-Farafishah
Engkaulah hiasan sebaik permata….

Pengorbanan Saudah yang tak ternilai harganya…
Mengutamakan yang lebih utama di hati Baginda
Walau dirimu berendam air mata…
“Wahai Rasulullah, biarkan aku terus menjadi isterimu
Kerana kedudukan itu
Lebih mulia dari seorang janda”…
Mulianya hatimu wahai Suadah binti Zam` ah….

Hafsah bin Umar…
Dalam kelemahan sebagai manusia
Masih ada ruang memohon ampunNya
Kau satukan helaian wahyu
Kalimah yang agung
Menjadi lembar pedoman turun temurun

Rumaisa
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman
Penuh redha engkau terima
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri….

[Pelbagai iktibar dapat kita teladani melalui kisah-kisah mereka. Kisah Hawa, Siti Khadijah RA, Aisyah RA, Pesona Zulaikha, Balqis, Ainul Mardhiah, Zubaidah Binti Jaafar, Halimah As-Sa’adiah, Yukabid, Fatimah Az-Zahra, Hindun, Asiah, Nasibah, Asma` Bt Abu Bakar, Zainab Bt Ali, Rabiatul Adawiyah, Zinnirah, Masyitah dan nama-nama serikandi Islam yang lain.

Walaupun kita mungkin tidak mampu meletakkan nama kita sebaris dengan para serikandi ini tetapi marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan kita supaya kita dapat bersama-sama mereka di syurga nanti. InsyaAllah.

Al Fatihah untuk para serikandi ini. Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan redha Allah S.W.T.]

Tuesday, January 5, 2010

Jom memeriahkan Konvensyen Nisa' Wilayah




Moga kehadiran kita akan dikira salah satu daripada amal ibadah kepadaNya...Ameen

About This Blog

"ilahi anta maqsudi waridhaka mathlubi"
Ya Ilahi, Engkaulah tempat matlamat dan tujuanku, dan hanya keredhaanMulah yang sentiasa menjadi cita-citaku